Evyap mahu pindahkan operasi ke Malaysia, fokus pasaran ASEAN
KUALA LUMPUR 21 Jan. – Evyap Sabun Malaysia Sdn. Bhd. (ESM) merancang untuk menghentikan semua operasi pengeluaran produk daripada kilang di Turki dan memfokuskan 100 peratus pengeluaran daripada kilang di Malaysia tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Martin Rudolph berkata, kilang eleokimia yang beroperasi di kawasan perindustrian Tanjung Langsat, Johor itu mampu menjadi loji utama dalam usaha menampung permintaan produk yang semakin meningkat di rantau ASEAN.
Katanya, produk-produk penjagaan diri itu akan dihasilkan di negara ini dan seterusnya dipasarkan ke seluruh dunia atas beberapa faktor yang lebih berkesan kepada aspek perniagaan.
“Rantau ASEAN merupakan pasaran pengguna terbesar dengan jumlah populasi penduduk yang sangat tinggi mampu menawarkan prospek perniagaan yang baik termasuk China dan India.
“Operasi pengeluaran sepenuhnya di Malaysia dapat membantu dari segi mengurangkan kos, perancangan dan logistik bagi memastikan pemasaran produk berjalan dengan lebih efektif,” katanya dalam taklimat media ‘Making the most out of ASEAN economic community’ di sini hari ini.
Yang turut hadir, waris Kumpulan Evyap, Omer Fethi Evyap dan Pengurus Komunikasi Korporat syarikat itu, Elif Sozer Dumlu.
Kilang ESM di Johor telah beroperasi sejak 2014 berkeluasan 225,000 kaki persegi dengan jumlah kapasiti produk sebanyak 350,000 tan setahun iaitu 150,000 tan metrik sabun, 175,000 tan metrik asid lemak dan 25,000 tan metrik gliserin.
Loji oleokimia terbesar di dunia yang memakan belanja sebanyak AS$200 juta (RM875 juta) itu merupakan tapak pembuatan ketiga yang dibina selepas di Istanbul, Turki dan Kaherah, Mesir.
Menurut Rudolph, pelbagai produk Evyap termasuk sabun, mandian, syampu, produk bercukur, krim penjagaan kulit, kosmetik, lampin bayi dan ubat gigi telah dipasarkan dan boleh didapati di lebih 100 buah negara.
“Keistimewaan produk Evyap adalah kami mengutamakan kualiti selain harganya yang berpatutan pasti akan terus membantu mengembangkan rangkaian perniagaan ini,” katanya.
ALL NEWS